Monday, May 4, 2009

Penemuan Terbaru Salasilah YM Raja Aishah bt. Raja Ngah Makah

Baru-baru ini (15 Januari 2009), saya dan ayahanda saya telah berkesempatan mengunjungi YM Raja Ali bin Raja Amran (keturunan DYMM Paduka Seri Sultan Abdullah Muhammad Shah I "Marhum Durian Sebatang" yang memerintah negeri Perak pada tahun 1851-1857), seorang pakar rujuk Salasilah Diraja Perak di kediamannya di Persiaran Raja Bendahara, Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak Darul Ridzuan. Pertemuan itu turut dihadiri oleh YM Raja Shah Riman bin Raja Yusof (keturunan Diraja Bugis Riau) dan juga YM Raja Azmir (keturunan DYMM Paduka Seri Sultan Abdullah Muhammad Shah II "Marhum Habibullah" yang memerintah negeri Perak pada 1874-1877).

Dalam pertemuan tersebut, kami telah berbincang tentang banyak perkara berkenaan keluarga saya, khususnya tentang almarhum moyang saya, YM Toh Seri Indera Jaya Raja Shahbudin bin Raja Dagang serta tentang isteri beliau, almarhumah YM Raja Aishah bt. Raja Ngah Makah. Perbincangan selama beberapa jam tersebut membuahkan hasil yang positif. Akhirnya baharulah saya mengetahui bahawa saya ini juga mempunyai kaitan dengan Kerabat Diraja Negeri Siak Sri Inderapura dan juga Kerabat Diraja Bugis Bone dari Sulawesi Selatan melalui moyang perempuan, YM Raja Aishah bt. Raja Makah. Keluarga moyang perempuanku ini berasal daripada sebuah keluarga yang besar dan mempunyai hubungan persemendaan dengan keluarga yang bangsawan Perak yang lain.

Daripada pertemuan ini, saya juga telah berkesempatan untuk bertemu dengan saudara mara yang tak pernah saya temui sebelum ini. Saya telah berkesempatan menemui YM Raja YM Ahmad Kamar bin Raja Adenan (bapa saudara dua pupu ayahanda saya), YM Raja Nor Uyun bt. Raja Adenan (ibu saudara dua pupu), YM Raja Shah Riman bin Raja Yusof (abang saudara tiga pupu), YM Raja Idris bin Raja Musa (bapa saudara dua pupu), dan YM Raja Ahmad Marzuki b. Raja Zainal Abidin (bapa saudara dua pupu). Alhamdulillah, hubungan kami sangat erat dan mesra padahal kami sebelum ini langsung tidak pernah bertemu. Selain itu, saya juga turut menghubungi saudara tiga pupu seperti YM Raja Zarina bt. Raja Ahmad Kamar dan YM Raja Zulkifli bin Raja Ahmad Kamar.

Proses pencarian salasilah keluarga saya di Bukit Chanda, Kuala Kangsar benar-benar mendatangkan hasil yang positif. Saya amat terhutang budi kepada YM Raja Ali bin Raja Amran dan YM Raja Shah Riman bin Raja Yusof kerana banyak membantu saya dalam menulis salasilah keluarga kami. Mereka juga sanggup meluangkan waktu untuk menemani saya ke Ipoh dan ke Beruas semata-mata untuk mencari saudara mara di sana. Berkat pertolongan mereka itu membolehkan saya dan ayahanda saya menemui YM Raja Khatijah bt. Raja Mahmud dan keluarga serta YM Raja Hussein sekeluarga. Selain itu, mereka juga banyak meminjamkan saya salasilah yang ditulis oleh mereka berdua dan saya kira maklumat yang diberikan itu semestinya amat berharga.

Jasa YM Raja Ahmad Kamar bin Raja Adenan juga tidak saya lupakan. Beliau telah meminjamkan saya sekeping salasilah keturunan YM Tok Engku Daeng Peratis kepada saya untuk disalin semula. Penemuan maklumat salasilah terbaru ini pada saya amatlah berbaloi dengan usaha saya yang tidak mengenal erti jemu. Peluang untuk bertemu dengan ramai orang ini sekali gus memberi pendedahan kepada saya cara untuk kita berinteraksi dan berkomunikasi secara berkesan. Di samping itu, kita akan dapat menyambung hubungan tali silaturahim antara kaum kerabatyang sudah lama terputus.

Saya berdoa agar selepas ini saya bertemu juga dengan salasilah nenek moyang saya sebelah lelaki pula, Insya-Allah...........